iklan

Jumaat, 13 Ogos 2010

Gastrik punca pedih ulu hati

Gastrik punca pedih ulu hati

Ulu hati saya selalu berasa pedih dan boleh dikatakan hampir setiap hari saya mengalaminya. Saya tidak pasti sama ada penyakit itu gastrik atau sebaliknya. Kadangkala saya berasa makanan yang saya makan seperti tidak hadam. Jika saya mengalami pedih ulu hati, saya akan muntah. Anehnya, selepas muntah, saya berasa selesa dan pedih ulu hati itu akan berkurangan.Doktor, apakan masalah yang saya hadapi itu?

Jawapan:

Seseorang yang menghidap penyakit gastrik atau dalam istilah perubatan disebut ‘Penyakit Peptik Ulser’, sering mengalami pedih ulu hati.

Ia kerap berlaku dalam keadaan perut yang kosong, terutama pada waktu lewat malam atau awal pagi.

Kepedihan yang dialami oleh penghidap penyakit peptik ulser ini berbeza, tetapi berada dalam lingkungan sakit sedikit hingga kepada sakit yang teruk berdasarkan tahap penyakit yang dihidapi. Biasanya, apabila rasa pedih ulu hati menyerang, kebanyakan pesakit akan segera makan atau meminum sesuatu seperti susu atau makanan lain untuk melegakan kepedihan ini.

Seperti yang saudara katakan, apabila muntah saudara akan berasa lega. Sebenarnya, muntah juga membantu untuk melegakan rasa kepedihan.

Selain pedih ulu hati, kadangkala pesakit gastrik berasa sebu pada bahagian atas perut. Mereka juga sering mengalami jeluak dan sedawa. Ada juga kes yang dikategorikan sebagai teruk, pesakit akan buang air besar cair.

Penyakit peptik ulser adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh asid di dalam sistem penghadaman perut. Ia merangkumi penyakit ‘Duodenal ulser’, ‘Gastric ulser’ dan ‘Refluks Oesophagitis’.

Ia berpunca daripada asid yang merosakkan dinding perut. Sebahagian daripada pesakit gastrik ini mempunyai kuman ‘Helicobacter pylori’ dalam perut mereka, yang bertindak melemahkan ketahanan dinding perut daripada ancaman asid.

Komplikasi yang mungkin berlaku kepada pesakit peptik ulser atau gastrik termasuklah pendarahan, kebocoran dinding perut dan stenosis iaitu perut sumbat. Semua komplikasi ini dikategorikan sebagai teruk dan boleh mengancam nyawa.

Sekiranya seseorang itu mempunyai tanda penyakit gastrik adalah baik bagi mereka mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor.

Jawapan disediakan oleh: Dr Jamaludin Yusak, Pakar Bedah Am Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan